Pertubuhan Global Hayat melancarkan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2026 Rentas Sempadan dengan sasaran agihan dana sebanyak RM1 juta bagi membantu 23,000 penerima manfaat di empat negara iaitu Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, misi berkenaan digerakkan untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan keperluan asas kepada keluarga pelarian, anak yatim, warga emas serta golongan rentan yang berdepan cuaca ekstrem dan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Menurut beliau, kedatangan musim sejuk membawa ancaman besar terhadap keselamatan dan kelangsungan hidup golongan yang kehilangan tempat tinggal, apatah lagi sebahagian mereka turut terjejas akibat banjir kilat yang merosakkan tempat perlindungan.
“Musim sejuk bukan sekadar perubahan cuaca, tetapi ujian kehidupan bagi jutaan manusia yang kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam serba kekurangan. Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan seluruh krisis kemanusiaan dunia, tetapi kita tidak boleh membiarkan mereka menghadapinya sendirian,” katanya.
Delegasi 12 Anggota ke Syria dan Lubnan
Bagi memperkukuh pelaksanaan di lapangan, Global Hayat akan bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kelab Perwira Malaysia, Komuniti Dakwah Tarbiah dan Nisa Al-Khair menerusi misi lapangan ke Syria dan Lubnan dari 1 hingga 11 Disember 2026.

Misi tersebut melibatkan seramai 12 anggota delegasi yang akan mengagihkan bantuan serta meninjau penempatan pelarian Palestin bagi menilai keperluan komuniti secara langsung, manakala penyaluran bantuan ke Palestin dan Yaman dilaksanakan melalui wakil serta rakan pelaksana strategik di negara berkenaan.
Pecahan sasaran penerima manfaat di keempat-empat negara adalah seperti berikut:
| Negara | Sasaran Penerima Manfaat |
|---|---|
| Palestin | 10,000 orang |
| Syria | 6,000 orang |
| Lubnan | 4,000 orang |
| Yaman | 3,000 orang |
| Jumlah Keseluruhan | 23,000 orang |
Muhd Farhan menegaskan bahawa nasib rakyat Palestin tidak seharusnya dilihat di Gaza semata-mata, sebaliknya masyarakat pelarian Palestin yang telah menetap di Syria dan Lubnan sejak beberapa generasi turut memerlukan perhatian berterusan, termasuk akses pendidikan, kesihatan dan pemulihan kehidupan jangka panjang.
Lantik Tiga Ikon Kemanusiaan

Dalam majlis sama, Global Hayat turut mengumumkan pelantikan pasangan selebriti Raqib Majid dan Tasha Manshahar, serta personaliti media Fedtri Yahya sebagai Ikon Kemanusiaan Global Hayat.
Langkah itu bertujuan memperluas kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, keluarga dan profesional, selain menggerakkan kempen solidariti dan pendidikan kemanusiaan secara berterusan.
Orang ramai, sektor korporat dan institusi yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana melalui akaun rasmi Maybank 5622 6361 4906 atas nama PERTUBUHAN GLOBAL HAYAT atau melayari laman web misihayat.com.


