KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – IHH Healthcare Malaysia melancarkan rangkaian ambulans bersepadu yang menawarkan perkhidmatan tindak balas dan pengangkutan kecemasan secara percuma ke enam hospital di sekitar Lembah Klang menerusi satu talian tunggal, 15551.
Perkhidmatan itu menghubungkan pesakit terus ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ampang, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang dan Pusat Perubatan Prince Court. Pelaksanaan di Lembah Klang merupakan fasa pertama inisiatif berkenaan sebelum pertimbangan peluasan ke kawasan lain dibuat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pengukuhan penjagaan kecemasan menuntut keseluruhan sistem tindak balas berfungsi dengan lancar, bermula dari panggilan pertama sehingga pesakit tiba di hospital.

“Keutamaan penjagaan kesihatan Malaysia menuntut penyelarasan lebih baik serta kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta. Inisiatif seperti ini membantu mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya,” katanya.
Pantau Lokasi Ambulans Secara Masa Nyata
Menerusi sistem berkenaan, setiap panggilan yang diterima akan dinilai oleh pasukan pusat di Pusat Kawalan Ambulans IHH berdasarkan keadaan dan lokasi pesakit sebelum menghantar ambulans terdekat yang dilengkapi keupayaan klinikal bersesuaian.
Pada masa sama, Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) hospital penerima akan dimaklumkan lebih awal supaya pasukan perubatan dapat bersedia sebelum ketibaan pesakit.
Sebaik ambulans digerakkan, pemanggil akan menerima pautan melalui WhatsApp dan SMS bagi memantau lokasi ambulans secara masa nyata (real-time) serta menyemak anggaran masa ketibaan (ETA), sekali gus memberi ketenangan kepada pesakit dan ahli keluarga sementara menunggu bantuan tiba.
Pusat kawalan tersebut juga berupaya menguruskan pelbagai panggilan kecemasan secara serentak bagi memastikan kesinambungan rawatan bermula di lokasi kejadian, diteruskan sepanjang perjalanan dan disambung terus di hospital penerima.
Dilengkapi Kemudahan Sokongan Hayat Lanjutan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan, berkata akses pantas merupakan sebahagian daripada kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Pada saat kecemasan, pesakit perlu mendapatkan bantuan dengan pantas tanpa sebarang keraguan. Dengan menyediakan tindak balas dan pengangkutan ambulans secara percuma melalui satu rangkaian bersepadu, kami memperluas tanggungjawab melangkaui dinding hospital serta menetapkan standard baharu dalam penjagaan kecemasan pra-hospital swasta,” katanya.
Kesemua ambulans Jenis A yang digunakan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dilengkapi peralatan Sokongan Hayat Lanjutan (ALS) termasuk mesin defibrilator, bantuan oksigen dan saluran pernafasan, ubat-ubatan kecemasan serta pemantauan pesakit.

Setiap pasukan terdiri daripada paramedik atau juruteknik perubatan kecemasan bersama pemandu terlatih, manakala jururawat atau doktor akan turut dikerahkan bagi kes kritikal mengikut keperluan klinikal.
Masa tindak balas, proses serahan pesakit dan petunjuk kualiti perkhidmatan turut dipantau secara berterusan bagi mengekalkan tahap perkhidmatan yang konsisten.


