KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Mesej tular dalam media sosial kononnya terdapat anggota keselamatan beruniform di Terengganu didakwa dipaksa untuk mengundi parti tertentu ketika pengundian awal, hari ini undang malapetaka sekiranya benar, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, mesej yang ditularkan itu juga mendakwa anggota unit beruniform di negeri itu tanpa kerelaan perlu berbuat demikian atau diugut untuk ditukarkan selain diberikan imbuhan.
“Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara.
“Sesungguhnya, manusia yang merdeka mungkin boleh dipaksa, ditahan, diugut; tetapi jangan ingat ianya boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya,” katanya menerusi facebooknya hari ini.
Dr Ahmad Samsuri yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini juga menegaskan jika perkara tersebut terjadi, ia tidak ubah seperti kembali ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera.
“Jika benar terjadi, pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” katanya.
Satu tangkap layar group telegram yang dinamakan Edisi Siasat hari ini tular dengan dakwaan anggota keselamatan menerima RM200 untuk mengundi parti tertentu dan akan dikenakan tindakan jika tidak berbuat demikian.