Home » Terengganu rekod keluar mengundi awal hampir 96 peratus

Terengganu rekod keluar mengundi awal hampir 96 peratus

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Menteri Besar Terengganu memuji semua anggota unit beruniform dan keluarga yang menjalankan tanggungjawab mengundi semalam apabila keenam-enam negeri mencatatkan bilangan keluar mengundi awal melebihi 90 peratus.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu merekodkan bilangan keluar mengundi kedua tertinggi iaitu sebanyak 95.91 peratus.

“Alhamdulillah, proses pengundian awal dalam kalangan anggota polis, Pasukan Gerak Am (PGA) dan anggota tentera berserta pasangan masing-masing berjalan lancar di kesemua enam negeri yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum DUN ke-15 hari ini (semalam).

“Proses pengundian melibatkan kerjasama antara SPR dan pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya menerusi Facebook semalam.

Beliau turut menitipkan ucapan syabas kepada semua anggota dan keluarga yang mengundi kerana telah menjalankan tanggungjawab demi masa depan Malaysia tercinta.

Beliau juga berharap agar momentum tersebut akan diteruskan oleh semua pengundi di keenam-enam negeri pada 12 Ogos 2023, Sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *