KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Konsert Desaku Mendunia yang berlangsung selama dua malam di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur, berjaya mencuri tumpuan lebih 2,000 pengunjung dengan persembahan memukau yang sarat dengan nilai seni dan budaya tempatan.
Kemuncak acara tersebut ialah persembahan hebat oleh MAREMAF Wind Orchestra (MAWO) yang terdiri daripada 59 pelajar MRSM Ulul Albab FELDA Trolak.
Kumpulan ini tampil dengan persembahan bertaraf antarabangsa dan turut diiringi oleh barisan artis terkenal tanah air termasuk Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang, Datuk Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi.
Lebih membanggakan, MAWO kini bersedia menggalas misi besar mengharumkan nama negara apabila mereka dijadualkan bertanding dalam pertandingan orkestra antarabangsa di Prague, Republik Czech, yang akan disertai oleh wakil dari 11 buah negara.


Penyertaan ini menjadi simbol kejayaan pendidikan holistik yang ditawarkan kepada anak-anak FELDA, membuktikan bahawa mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam bidang seni dan muzik.
Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut menyempurnakan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang bakal diadakan di MITEC, Kuala Lumpur.


MK3D merupakan inisiatif strategik merangkumi Karnival Usahawan Desa (KUD) di bawah KKDW, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh KUSKOP serta Hari Peneroka FELDA 2025.
MK3D pemangkin transformasi ekonomi luar bandar
Menurut beliau, MK3D akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi luar bandar melalui sinergi antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat, sekali gus memperkasa potensi luar bandar sebagai pemacu pertumbuhan negara.


FELDA dalam kenyataan turut menghargai semua pihak yang menjayakan Konsert Desaku Mendunia serta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan kejayaan MAWO dalam misi mereka di pentas dunia kelak.
“Kejayaan ini diharap dapat menyuntik inspirasi kepada komuniti FELDA dan mengangkat martabat anak bangsa di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan FELDA.


