KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Bekas Imam Masjid Negara, Muhammad Fikri Abdul Aziz, telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), semalam.
Pelantikan beliau yang juga merupakan Ketua Cabang Putrajaya, merupakan pengiktirafan terhadap rekod dan pengalamannya dalam bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Ketua Penerangannya, Mohd Hafiz Osman berkata, rekod perkhidmatan Muhammad Fikri sebagai figura agama dan dihormati menjadikannya calon yang tepat untuk menggalas jawatan tersebut.
Sebagai Timbalan Pengerusi, Muhammad Fikri akan menerajui penyelarasan dasar, pemantauan pelaksanaan program pembangunan, serta perancangan strategik.
“Fokus utama adalah kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI,” kata Mohd Hafiz dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya lagi, gabungan latar belakang keagamaan dan penglibatan aktif Muhammad Fikri dalam bidang politik serta kemasyarakatan diyakini mampu memperkukuh MPN.
“Ia juga bagi memperkasa pembangunan di Wilayah Persekutuan secara holistik dan bersepadu demi manfaat kepada komuniti setempat,” ujarnya lagi.
Dalam satu kenyataan berasingan oleh Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN telah diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik yang diadakan semalam.
Muhammad Fikri akan bergandingan bersama Pengerusi MPN WP, Datuk Azman Abidin yang juga merupakan Ketua Cabang Bandar Tun Razak.


