Batuk sering dianggap sebagai masalah kesihatan yang ringan dan akan pulih dengan sendirinya. Namun, batuk yang berlarutan, terutamanya melebihi dua hingga tiga minggu, boleh menjadi petanda kepada jangkitan paru-paru atau penyakit pernafasan yang lebih serius seperti radang paru-paru (pneumonia), tuberkulosis (TB) atau penyakit paru-paru kronik.
Wanita juga mungkin mengalami gejala yang berbeza berbanding lelaki, termasuk batuk yang berpanjangan, sesak nafas dan keletihan yang lebih ketara. Faktor seperti pencemaran udara, asap rokok, sistem imun yang lemah, kehamilan dan penyakit kronik turut meningkatkan risiko jangkitan paru-paru.
Dalam sesi ini, Dr. Sangeta Vadivelu berkongsi mengenai punca, tanda amaran, kepentingan mendapatkan rawatan awal serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi kesihatan paru-paru wanita.
1. Apakah punca-punca utama wanita mendapat jangkitan paru-paru?
Antara punca utama wanita mengalami jangkitan paru-paru ialah:
- Jangkitan virus seperti influenza, COVID-19 dan Respiratory Syncytial Virus (RSV).
- Jangkitan bakteria seperti pneumonia yang disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae atau Mycoplasma pneumoniae.
- Sistem imun yang lemah akibat tekanan, penyakit kronik atau pengambilan ubat tertentu.
- Penyakit paru-paru sedia ada seperti asma, Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD) atau bronkiektasis.
- Pendedahan kepada asap rokok, asap rokok pasif, pencemaran udara dan bahan pencemar di tempat kerja.
- Jangkitan kulat (kurang lazim), terutama di persekitaran yang lembap atau berkulat.
Wanita yang mempunyai penyakit kronik, kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan atau merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi.
2. Adakah batuk yang berlarutan melebihi dua hingga tiga minggu merupakan sesuatu yang membimbangkan?
Ya. Batuk yang berlarutan lebih daripada dua hingga tiga minggu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin menandakan penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (TB), pertusis (batuk kokol) atau jangkitan saluran pernafasan lain yang boleh merebak kepada orang lain.
Selain itu, batuk berpanjangan juga boleh menjadi petanda penyakit paru-paru yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
3. Apakah gejala yang tidak boleh diabaikan jika seseorang mengalami batuk berpanjangan?
Sekiranya batuk berlarutan, jangan abaikan jika ia disertai dengan gejala berikut:
- Batuk berdarah.
- Sesak nafas atau nafas berbunyi (wheezing).
- Penurunan berat badan tanpa sebab.
- Sakit dada yang berterusan.
- Demam atau berpeluh pada waktu malam.
- Bengkak pada muka atau leher.
- Suara serak yang berlarutan lebih daripada beberapa minggu.
Gejala-gejala ini mungkin menandakan jangkitan serius, penyakit paru-paru atau kanser dan memerlukan pemeriksaan segera.
4. Adakah simptom jangkitan paru-paru berbeza antara wanita dan lelaki?
Ya. Kajian menunjukkan wanita cenderung mengalami batuk yang lebih lama serta melaporkan gejala seperti sesak nafas dan keletihan dengan lebih kerap berbanding lelaki.
Sebaliknya, lelaki lebih cenderung mengalami batuk yang lebih teruk serta pengeluaran kahak yang banyak. Perbezaan ini penting kerana ia boleh mempengaruhi diagnosis dan rawatan penyakit pernafasan.
5. Bilakah wanita yang mengalami batuk berpanjangan perlu berjumpa doktor?
Wanita yang mengalami batuk melebihi tiga minggu disarankan mendapatkan pemeriksaan daripada pakar perubatan respiratori.
Rawatan segera juga diperlukan sekiranya batuk disertai dengan sesak nafas, sakit dada, batuk berdarah atau penurunan berat badan tanpa sebab.
6. Apakah pemeriksaan yang biasanya dilakukan untuk mengenal pasti punca batuk berpanjangan?

Pakar respiratori biasanya akan memulakan penilaian melalui sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan X-ray dada.
Bergantung kepada keadaan pesakit, pemeriksaan lanjut mungkin merangkumi:
- Ujian fungsi paru-paru (Spirometri) bagi mengesan asma atau COPD.
- Imbasan CT dada atau sinus.
- Ujian alahan.
- Analisis kahak bagi mengesan jangkitan atau keradangan.
- Bronkoskopi untuk memeriksa saluran pernafasan dan mengambil sampel jika perlu.
- Penilaian bagi refluks gastroesofagus (GERD) atau lelehan hingus ke belakang tekak (postnasal drip) jika disyaki menjadi punca.
7. Apakah yang boleh berlaku jika simptom jangkitan paru-paru diabaikan?
Jangkitan boleh menjadi semakin teruk, merebak ke bahagian paru-paru yang lain, menyebabkan kegagalan pernafasan, sepsis atau membawa maut jika tidak dirawat.
Pemeriksaan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi serius.
8. Bolehkah pencemaran udara, asap rokok atau asap dapur menyebabkan jangkitan paru-paru?
Ya. Pencemaran udara, asap rokok dan asap daripada aktiviti memasak boleh merengsakan paru-paru, merosakkan sistem pertahanan saluran pernafasan serta meningkatkan risiko jangkitan.
Pendedahan berpanjangan juga boleh menyebabkan bronkitis, pneumonia atau memburukkan penyakit seperti asma dan COPD.
9. Adakah wanita yang mempunyai sistem imun lemah, anemia atau sedang hamil lebih berisiko?
Ya. Wanita yang mempunyai sistem imun lemah, mengalami anemia atau sedang hamil lebih mudah mendapat jangkitan dan mengalami komplikasi kerana keupayaan tubuh melawan penyakit menjadi lebih rendah.
10. Bilakah penyakit seperti tuberkulosis (TB) atau pneumonia perlu disyaki?
TB perlu disyaki apabila seseorang mengalami batuk lebih daripada dua minggu, disertai demam, berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan atau batuk berdarah.
Pneumonia pula biasanya menyebabkan demam secara tiba-tiba, menggigil, batuk (dengan atau tanpa kahak), sesak nafas, sakit dada ketika bernafas serta keletihan, terutama selepas jangkitan saluran pernafasan.
11. Bagaimanakah doktor membezakan batuk biasa dengan jangkitan paru-paru?
Doktor akan menilai simptom, melakukan pemeriksaan fizikal dan menjalankan ujian yang berkaitan.
Tanda-tanda jangkitan paru-paru termasuk demam, sesak nafas, sakit dada, batuk yang semakin teruk serta kahak berwarna kuning, hijau atau berdarah. Doktor juga mungkin mendengar bunyi paru-paru yang tidak normal seperti crackles atau wheezing, dan menjalankan X-ray dada atau ujian darah untuk mengesahkan diagnosis.
12. Apakah tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan kecemasan?
Segera ke hospital sekiranya mengalami:
- Sesak nafas yang teruk atau sukar bernafas, walaupun ketika berehat.
- Bibir, muka atau hujung jari bertukar kebiruan.
- Sakit dada yang berterusan atau semakin teruk.
- Kekeliruan, mengantuk melampau atau pening secara tiba-tiba.
- Demam tinggi dengan menggigil dan pernafasan yang laju.
- Bunyi nafas yang kuat atau semakin teruk.
- Batuk berdarah atau mengeluarkan kahak yang banyak dan pekat.
- Simptom yang semakin teruk walaupun telah menerima rawatan.
Keadaan ini boleh menandakan kecemasan perubatan seperti pneumonia yang serius, serangan asma yang teruk, pemburukan COPD atau embolisme pulmonari.
13. Bolehkah kelewatan mendapatkan rawatan menyebabkan kerosakan paru-paru kekal?
Ya. Kelewatan mendapatkan rawatan bagi penyakit seperti pneumonia, TB, COVID-19 atau COPD boleh menyebabkan parut pada paru-paru (fibrosis) serta kerosakan kekal yang menjejaskan fungsi paru-paru.
14. Mengapa rawatan awal bagi jangkitan paru-paru sangat penting?
Rawatan awal membantu mencegah jangkitan daripada menjadi lebih teruk, mengurangkan risiko komplikasi seperti pneumonia atau sepsis serta mempercepatkan proses pemulihan.
Sebaliknya, kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang lebih serius dan tempoh pemulihan yang lebih lama.
15. Bagaimanakah pemeriksaan susulan membantu proses pemulihan? Mengapa sesetengah wanita lewat mendapatkan rawatan?
Pemeriksaan susulan membolehkan doktor memantau perkembangan pesakit, menyesuaikan rawatan jika perlu, mengesan komplikasi lebih awal serta memberikan sokongan berterusan bagi memastikan pemulihan yang optimum.
Sesetengah wanita pula lewat mendapatkan rawatan kerana menganggap batuk, keletihan atau sesak nafas hanyalah kesan penuaan, tekanan atau penyakit ringan.
Tanggungjawab menjaga keluarga, kebimbangan terhadap diagnosis penyakit serius, kekangan kos dan masa, serta kurang kesedaran mengenai risiko penyakit paru-paru dalam kalangan wanita turut menjadi antara faktor yang menyebabkan mereka menangguhkan pemeriksaan perubatan.
Sekiranya batuk berpanjangan lebih daripada dua hingga tiga minggu, atau disertai simptom seperti sesak nafas, sakit dada atau batuk berdarah, dapatkan pemeriksaan dengan segera. Diagnosis awal dan rawatan yang tepat mampu mencegah komplikasi serta memberikan hasil rawatan yang lebih baik.


