Perubahan demografi Malaysia kini berada pada fasa kritikal. Menjelang kira-kira 20 tahun akan datang, Malaysia dijangka secara rasmi menjadi sebuah negara tua apabila populasi penduduk berusia 65 tahun ke atas merangkumi lebih 14 peratus daripada keseluruhan rakyat.
Persediaan mendepani realiti penuaan populasi ini memerlukan penyelesaian tuntas, inovatif dan inklusif. Justeru, penganjuran majlis anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI) edisi ke-5 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini dilihat amat bertepatan pada waktunya dalam membawa wacana serta inovasi serantau ke bumi Malaysia.
Majlis yang dianjurkan bersama oleh Japan Center for International Exchange (JCIE) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) itu menghimpunkan serta meraikan perintis inovasi dari seluruh Asia yang komited dalam memajukan agenda penuaan sihat.
Platform Antarabangsa Latih Persediaan Demografi Malaysia
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano menegaskan bahawa pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah edisi kali ini membawa mesej penting buat Malaysia yang sedang bersiap sedia menghadapi lonjakan demografi warga emas.

“Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua dalam tempoh kira-kira 20 tahun apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan merangkumi lebih 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Penganjuran Anugerah HAPI di Kuala Lumpur merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk mengiktiraf inisiatif perintis serta berkongsi pendekatan inovatif yang boleh membantu masyarakat menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang timbul akibat peningkatan populasi warga emas,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa HAPI bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, sebaliknya berfungsi sebagai platform antarabangsa untuk mengetengahkan inovasi berpotensi, menggalakkan perkongsian pengetahuan, dan memperkukuh kerjasama merentas negara serta sektor bagi disesuaikan dengan pelbagai keperluan masyarakat menua di Asia.
14 Inisiatif Iktiraf, 3 Anugerah Utama Jadi Tumpuan
Edisi ke-5 HAPI mengiktiraf 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong SAR, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.
Tiga Anugerah Utama telah disampaikan mengikut kategori khusus:
- Kategori Penjagaan dan Kesejahteraan (Care & Wellbeing): Dianugerahkan kepada Frailty Prevention Team dari The University of Tokyo, Jepun (diwakili oleh Profesor Katsuya Iijima, Pengarah Institute of Gerontology). Inisiatif berteraskan komuniti ini memperkasakan warga emas untuk mencegah atau memulihkan keadaan kerapuhan fizikal menerusi gaya hidup sihat dan ikatan sosial yang kukuh.

- Kategori Penglibatan Sosial (Social Engagement): Dianugerahkan kepada NOLLUWA dari Korea Selatan (diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mun-Hwan Cho) menerusi inisiatif Local Libero for Regional Revitalization and Sustainability. Program ini memangkut kerjasama antara generasi dan mengaktifkan semula komuniti luar bandar yang mengalami lonjakan populasi warga emas.

- Kategori Persekitaran yang Menyokong (Supportive Environments): Dianugerahkan kepada Fukuoka City, Jepun (diwakili oleh Timbalan Datuk Bandar, Dr. Yasuko Arase) menerusi inisiatif Fukuoka Dementia-Friendly Design, yang mereka bentuk persekitaran awam lebih inklusif dan mudah diakses bagi individu hidup dengan demensia.
Pemindahan Ilmu Dan Kerjasama Rentas Sempadan
Selain meraikan kejayaan para pemenang, majlis ini turut menekankan kepentingan perkongsian ilmu serta kerjasama rentas sempadan.
Pendedahan terhadap model kejayaan yang telah terbukti berkesan di rantau Asia ini memberi peluang emas kepada penggubal dasar, inovator, dan pihak berkepentingan di Malaysia untuk bertukar fikiran serta menyesuaikan formula terbaik bagi keperluan komuniti tempatan mendepani era negara tua.


