PUTRAJAYA 11 November 2026 – Anjung Syawal bersempena Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2027 menyasarkan 1.5 juta kunjungan sepanjang 30 hari penganjuran menerusi penambahan tarikan membeli-belah, gastronomi, seni dan aktiviti kekeluargaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Niaga Maju Sdn. Bhd. (PNM), Muhamad Arif Omar berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian Anjung Syawal 2026 yang merekodkan sebanyak 1,386,452 kunjungan melalui sistem pengiraan pengunjung.
Konsep Acara Menyeluruh & Tarikan Utama

Menurut beliau, penganjuran tahun hadapan akan mengetengahkan konsep satu acara menerusi tarikan utama termasuk Gastro Seni dan Laman Iftar bagi menawarkan pengalaman Ramadan yang lebih menyeluruh.
“Anjung Syawal akan terus menjadi tumpuan membeli-belah dan persiapan Aidilfitri dengan pelbagai pilihan vendor serta jenama terkenal.
“Gastro Seni pula memberi fokus kepada makanan, seni, kreativiti dan gaya hidup, manakala Laman Iftar menyediakan ruang berbuka puasa secara santai bersama keluarga dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anjung Syawal 2027 dijadualkan berlangsung dari 8 Februari hingga 9 Mac 2027 di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.
Ia bersempena FRP 2027 iaitu acara tahunan kali ke-15 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’.
Lot Niaga Laris & Pengendalian Gastro Seni
Ketika ini, lebih 200 lot niaga Anjung Syawal habis terjual dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka manakala baki lot niaga yang masih ditawarkan kini melibatkan kawasan premium dan ruang khas untuk penyertaan jenama utama serta rakan penaja.
Muhamad Arif berkata, tahun 2027 juga merupakan kali pertama PNM diberi tanggungjawab mengendalikan Gastro Seni, yang sebelum ini dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) pada 2026.
Kepelbagaian Pengisian Aktiviti & Akses Lokasi


Katanya, PNM akan turut memperkenalkan lebih banyak aktiviti harian dan mingguan, termasuk persembahan artis, nasyid, program kebudayaan, sesi bersama selebriti dan pempengaruh serta aktiviti interaktif yang menarik minat keluarga dan generasi muda.
“Kami mahu Anjung Syawal menjadi lebih daripada sebuah bazar Raya. Pengunjung bukan sahaja datang untuk mencari keperluan Aidilfitri, tetapi turut menikmati suasana Ramadan, berbuka puasa dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Pengisian yang berterusan sepanjang 30 hari juga diharap dapat menarik kunjungan berulang, sekali gus memberi peluang perniagaan yang lebih luas kepada vendor dan jenama yang mengambil bahagian,” katanya.
Menurut Muhammad, kelebihan lokasi Putrajaya yang mudah diakses dari Cyberjaya, Bangi, Kajang dan kawasan sekitarnya turut menjadi faktor penting dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan pengisian Anjung Syawal FRP 2027, orang ramai boleh melayari laman web atau media sosial rasmi acara berkenaan.


