KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – Tourism Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan wang elektronik (e-Money) dan perniagaan perkhidmatan wang (MSB) berlesen, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade), bagi melancarkan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia rasmi menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Inisiatif bersepadu itu bertujuan memperkukuh ekonomi pelancongan negara dengan menyediakan ekosistem pembayaran tanpa tunai pelbagai saluran yang lebih lancar kepada pelawat.
Majlis pelancaran dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.

Mohd Amirul Rizal berkata, sinergi antara sektor awam dan swasta merupakan elemen penting dalam meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama serta memacu pertumbuhan industri secara mampan.
“Kerjasama kami dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan, selaras dengan aspirasi kempen VM2026–2027.
Sementara itu, Ramasamy berkata, sebagai rakan teknologi kewangan negara, pihaknya komited menghubungkan pelancong asing dengan peniaga tempatan menerusi peralihan pembayaran daripada tunai kepada digital yang lebih meyakinkan.

“Dengan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, kami memberikan keyakinan kepada pelawat dari seluruh dunia untuk berbelanja di premis tempatan, merangkumi aktiviti membeli-belah hingga ke pelbagai tarikan pelancongan menarik,” katanya.
Kemudahan Transaksi Global dan Tempatan
Menampilkan reka bentuk ikonik Visit Malaysia, kad eksklusif yang dilengkapi dompet elektronik pelbagai mata wang itu membolehkan pelancong membuat transaksi tanpa tunai secara meluas di rangkaian peniaga sektor pelancongan dan peruncitan tempatan.
Antara ciri utama yang ditawarkan menerusi kad dan aplikasi berkenaan termasuk:
- Penerimaan Meluas: Menyokong sepenuhnya rangkaian global VISA, pembayaran imbasan DuitNow QR di seluruh negara, transaksi tanpa sentuh melalui Google Wallet dan Samsung Wallet, serta akses kepada mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) Visa di seluruh dunia.
- Rangkaian Ganjaran Peniaga: Menawarkan pelbagai diskaun dan keistimewaan di premis rakan kerjasama Tourism Malaysia meliputi sektor perhotelan, pusat beli-belah, pengangkutan, makanan dan minuman, tarikan pelancongan serta pasar tempatan.
Pelancong antarabangsa boleh mendaftar untuk mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di negara ini melalui rangkaian cawangan Merchantrade di lokasi tumpuan seperti Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall serta Imago Mall di Sabah.

Promosi produk kewangan itu turut diperluas menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara yang merangkumi pasaran utama seperti London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.
Selain menyasarkan pelawat asing, inisiatif berkenaan turut menyokong kempen pelancongan domestik, Cuti-Cuti Malaysia, dengan membantu pengembara tempatan menguruskan perbelanjaan percutian dalam negara secara lebih sistematik.
Dari segi prestasi semasa, Malaysia merekodkan sebanyak 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.
Langkah pendigitalan pembayaran ini dijangka terus menyokong momentum pertumbuhan tersebut serta mengukuhkan kedudukan negara sejajar dengan aspirasi “Malaysia, Indah Milik Anda” (Malaysia, Beautifully Yours).
Orang ramai dan pelancong boleh memuat turun aplikasi Merchantrade Money menerusi Google Play Store dan Apple App Store, atau melayari laman web rasmi di www.merchantrademoney.com/visitmalaysia2027/ untuk maklumat lanjut.


