AdikBeradik Kuala Lumpur (ABKL) dan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkasa pembangunan bakat serta memperluas peluang golongan muda menceburi industri permainan video dan e-sukan.
Inisiatif yang diperkenalkan pada sidang media di Dewan Bestari, UniKL MIIT baru-baru ini turut menghubungkan pengalaman pemain industri dengan kepakaran akademik bagi menyediakan pelajar menghadapi keperluan sektor berkenaan.
ABKL melihat industri e-sukan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan melalui penglibatan belia, sokongan pemain industri serta hubungan lebih erat dengan institusi pendidikan tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir, pembangunan ekosistem tersebut turut merangkumi aspek kreativiti, teknologi, keusahawanan dan peluang kerjaya dalam industri digital, selain pertandingan serta hiburan.
Sebagai organisasi yang aktif membangunkan komuniti permainan video dan hiburan digital menerusi platform AdikBeradik Roleplay (ABRP), ABKL komited untuk memperluas penglibatan komuniti serta mewujudkan lebih banyak ruang pembangunan bakat tempatan.
Sidang media itu turut menghimpunkan Pengurus Projek AB Championship Series 2026 (ABCS2026), Oozy; ikon e-sukan tempatan, Daddyhood dan streamer, Harris Alif serta Chipnibos.
Sinergi Industri & Akademik Pacu Ekonomi Digital
Sementara itu, Dekan UniKL MIIT, Prof. Ts. Dr. Mohd Nizam Husen berkata, industri permainan video dan e-sukan menawarkan peluang luas dalam bidang pembangunan perisian, permainan digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta multimedia kreatif.
“Kami melihat industri permainan video dan e-sukan di Malaysia mempunyai potensi besar, bukan sekadar sebagai platform hiburan dan pertandingan, tetapi juga sebagai pemacu inovasi, keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi digital negara.
“Saya percaya sinergi antara institusi pendidikan dan pemain industri seperti ABKL merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem digital negara serta melahirkan bakat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan ABKL membuka ruang untuk memperluas pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan secara langsung keperluan industri.
Antara inisiatif yang berpotensi dibangunkan ialah bengkel teknikal, perkongsian kepakaran industri, projek inovasi serta penglibatan pelajar dalam aktiviti industri sebenar.
Pendedahan itu membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teknikal yang dipelajari, selain memperkukuh kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
“Aspirasi kami adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berperanan sebagai pencipta teknologi, pembangun permainan digital, inovator dan usahawan digital,” ujarnya.
UniKL MIIT turut menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Pembangunan Permainan dengan Kepujian dan bakal menjadi tuan rumah UniKL E-Games Carnival (UEGC) pada Disember ini sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan ekosistem berkenaan.
Forum ‘Success in Esports’ Beri Pendedahan Kerjaya Sebenar

Program tersebut turut menampilkan forum Success in Esports yang memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan pemain industri serta mendengar pengalaman mereka membina kerjaya.
Antara pengisian forum ialah cabaran industri, pembangunan jenama peribadi, pengaruh media sosial, potensi ekonomi digital serta kepentingan pendidikan dan kemahiran dalam membentuk kerjaya.

Mohd. Nizam berharap perkongsian tersebut dapat mendorong pelajar mengembangkan minat terhadap permainan video kepada usaha membina kemahiran dan merancang masa depan.
“Melalui forum ‘Success in Esports’, saya berharap para pelajar bukan sahaja mendapat inspirasi daripada kisah kejayaan pemain industri, tetapi turut memahami bahawa kejayaan memerlukan disiplin, ketekunan, kreativiti dan kesungguhan untuk terus meningkatkan kemahiran,” katanya.
ABKL dan UniKL MIIT berharap hubungan industri dengan institusi pendidikan dapat diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang perkongsian ilmu, pembangunan bakat dan kerjasama pada masa hadapan.
Sementara itu ABKL bakal menganjurkan AdikBeradik Championship pada 28 November ini di The Arch Galeries, Kuala Lumpur.


