Mutakhir ini, landskap pendidikan Islam di Malaysia sedang mengalami fasa transformasi yang cukup dinamik. Institusi tahfiz tidak lagi dilihat sekadar pusat pengajian tradisional yang memencilkan diri daripada arus kemodenan.
Sebaliknya, ia kini mengorak langkah strategik sebagai lubuk pengeluaran modal insan dan acuan bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan yang holistik.
Manifestasi transformasi ini terpancar jelas dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ke-7 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam baru-baru ini. Majlis penuh emosi tersebut menyaksikan seramai 201 orang hafiz dan hafizah berjaya diraikan selepas menamatkan hafazan masing-masing.
Namun, di sebalik angka dan keraian tersebut, ada mesej yang lebih besar ingin disampaikan kepada masyarakat iaitu Al-Quran adalah asas kepimpinan moden.
Memecah stigma, melahirkan teknokrat Huffaz
Untuk sekian lama, wujud stigma dalam masyarakat bahawa masa depan pelajar tahfiz hanyalah terhad dalam skop keagamaan tegar seperti imam, bilal, atau guru agama. Realitinya pada hari ini, persepsi lapuk tersebut sudah lama berkubur.
Misi utama institusi seperti AKMAL yang mensasarkan 3,000 hufaz setiap tahun adalah untuk melahirkan pemimpin industri. Gabungan antara disiplin hafazan yang tinggi dan pendedahan akademik kontemporari terbukti berjaya melahirkan alumni yang kini memimpin sektor-sektor profesional sebagai doktor, arkitek, pensyarah dan peguam.
Disiplin yang diguna pakai menerusi tiga tiang utama iaitu penetapan sasaran, tumpuan penuh dan kempen kesedaran yang agresif, telah memendekkan tempoh hafazan pelajar sehingga mampu khatam dalam masa setahun tanpa menjejaskan kualiti bacaan.
Ini adalah bukti bahawa sistem pendidikan tahfiz kini bersifat efisien, kompetitif, dan relevan dengan keperluan pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, peningkatan hufaz yang berjaya khatam Al Quran pada tahun ini berbanding sebelumnya membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan target bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.
“Sistem kita asasnya adalah target dan kedua perlu fokus dan ketiga adalah kempen. Kita pergiat kempen untuk para pelajar ada sebab utama untuk capai target,” katanya dalam sidang media di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.
Tambahnya, antara kempen terbesar adalah program Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL yang mampu meningkatkan lagi semangat para pelajar giat menghafaz Al Quran mencontohi para hafiz dan hafizah yang berjaya.
“Kita lihat pada masa kini, ramai ibu bapa yang mahu mendaftar anak-anak mereka masuk ke tahfiz, ini kerana stigma bahawa pelajar tahfiz hanya boleh menjadi imam atau bidang keagamaan sudah lama luput. Realitinya, ramai huffaz membuktikan mereka mampu menguasai pelbagai kerjaya profesional bertaraf tinggi.
“Anak-anak huffaz ini bukan sahaja boleh menceburi bidang agama malah boleh mempunyai kerjaya kehebatan menceburi pelbagai bidang profesionalism dan ini terbukti alumni di AKMAL yang kini membina kerjaya sebagai arkitek, doktor, pensyarah dan pelbagai lagi” ujarnya lagi.
Sokongan institusi keluarga

Kisah kejayaan Muhammad Akmal Hadi Hissam, 16, yang meraih Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra dalam tempoh kurang setahun, mencerminkan peralihan kaedah pembelajaran tahfiz moden.
Pendekatan beliau yang memahami terjemahan Al-Quran terlebih dahulu sebelum menghafaz membuktikan bahawa generasi huffaz baharu adalah generasi yang berfikir dan menganalisis, bukan sekadar menghafal teks secara melulu.

Pada masa yang sama, peranan institusi kekeluargaan tetap menjadi tiang seri utama. Penganugerahan Anugerah Tajul Waqar kepada pasangan Wan Azuadi Wan Yusoff dan Normajan Ahmad yang menyaksikan empat orang anak mereka bergelar huffaz dan meraih Syahadah dalam tempoh singkat, menjadi testimoni kepentingan sokongan moral ibu bapa.
Kepercayaan ibu bapa terhadap sistem tahfiz berstruktur seperti AKMAL mencerminkan keyakinan mereka bahawa Al-Quran adalah benteng terbaik dalam membentuk jati diri seorang pemimpin muda sebelum mereka berdepan dengan rencam dunia luar.
Meluaskan impak kepimpinan ummah
Melihat kepada permintaan yang kian meningkat daripada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menguasai ilmu ukhrawi dan duniawi, langkah pembentukan modal insan ini tidak boleh terhenti di sini.
AKMAL merancang untuk membuka tiga buah lagi pusat tahfiz baharu di Ampang, Kelantan, dan Melaka pada tahun hadapan adalah satu pelaburan strategik yang tepat pada masanya.
Perluasan ini bukan sekadar penambahan fasiliti fizikal, tetapi merupakan usaha memperluas jaringan dan akses untuk melahirkan lebih ramai teknokrat huffaz di seluruh negara.

Haflah Takrimiyah yang berlangsung bukan sekadar ritual meraikan kejayaan, tetapi ia adalah sebuah peluncuran rasmi bagi 201 bakat muda yang bakal mewarnai dan memimpin negara suatu hari nanti.
Melalui acuan pendidikan yang betul, impian untuk melihat negara diterajui oleh generasi pemimpin berpaksikan Al-Quran kini bukan lagi satu retorik, melainkan sebuah realiti yang sedang dibina.


