Siapa sangka, keputusan berani dua usahawan muda yang enggan mengambil jalan mudah mengimport produk luar negara akhirnya membuahkan hasil yang cukup lumayan.
Dengan mempertaruhkan jenama pemakanan sihat hasil inovasi tempatan, mereka berjaya membuktikan keupayaan produk lokal apabila meraih jualan ‘lebat’ mencecah angka lapan digit dalam masa kurang setahun beroperasi.
Mula mencetuskan fenomena dalam kalangan ‘kaki gym’ dan pengamal diet seimbang menerusi rangkaian perasa makanan sifar kalori serta serbuk protein premium, ONTHEGO F&B INDUSTRY SDN BHD (ONTHEGO) kini gah meletakkan diri sebagai antara jenama bumiputera paling menyerlah dalam industri kesihatan dan kecergasan negara.
Revolusi menu diet bersama perasa 0 kalori
Segalanya bermula daripada visi murni Pengasas dan Pengarah Urusannya, Muhammad Emuff Dhiya Ishak, 35, yang mahu menyediakan alternatif suplemen dan produk kesihatan premium tetapi pada harga yang mampu milik.

Fokus awal mereka adalah menyelesaikan dilema terbesar orang yang berdiet, iaitu makanan sihat yang selalunya tawar dan membosankan.
“Sebab itulah pada tahun 2024, kami memperkenalkan rangkaian bahan perasa sifar kalori yang hadir dengan variasi rasa tempatan yang sangat dekat dengan selera kita seperti lada hitam, kicap pedas, rendang special, perapan bakar, satay special dan tandori.
“Respons pelanggan tersangatlah luar biasa kerana produk ini dihasilkan tanpa pewarna, perasa tambahan, mahupun kandungan garam yang berlebihan.

“Bagi menjamin ketelusan dan keselamatan pengguna, setiap produk ONTHEGO dihantar untuk ujian makmal pihak ketiga termasuk badan pengesahan terkemuka, SGS,” katanya.
Inovasi protein musang king
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Arieff Abas, 33, rahsia kekuatan jenama ini terletak pada fasiliti kilang pengeluaran mereka sendiri yang beroperasi di Selangor.

Dengan mengendalikan pembuatan secara domestik tanpa bergantung kepada produk siap yang diimport, mereka mempunyai kawalan mutlak terhadap kualiti, kos, serta proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Selepas menguasai pasaran perasa makanan, mereka mengorak langkah berani dengan meluncurkan produk serbuk protein (whey protein, creatine, dan suplemen kecergasan).
Menariknya, mereka menawarkan pilihan rasa yang sangat unik dan premium seperti chocolate indulgence, coffee hazelnut royale, salted caramel, sehinggalah ke perisa eksotik durian musang king.


Produk protein ini bukan sahaja menjadi kegilaan geng gym, malah sesuai untuk sesiapa sahaja yang mahu mencukupkan keperluan nutrisi harian.
“Paling penting, ia langsung tidak menggunakan gula putih atau pemanis tiruan, sebaliknya digantikan dengan pemanis semula jadi yang jauh lebih selamat.
Abdul Arieff Abas
Produk mereka kini telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dijangka memperoleh pensijilan halal JAKIM sepenuhnya menjelang Ogos ini.
Sasar tembusi pasaran global
Selain daripada kualiti produk yang tidak perlu dipertikaikan lagi, pendekatan pemasaran mereka juga sangat moden dan segar.
ONTHEGO membina pengaruh yang kuat dengan turun padang menyokong komuniti sukan tempatan, menaja atlet bina badan serta kerap menaja acara gaya hidup sihat.
Di media sosial pula, strategi pemasaran digital mereka yang agresif menerusi kerjasama dengan artis, pencipta kandungan dan pempengaruh tempatan berjaya membuatkan jenama ini sentiasa ‘melekat’ di fikiran pengguna pelbagai lapisan umur.

Melalui sesi siaran langsung (live) yang interaktif, mereka bukan sekadar menjual produk, tetapi turut mengambil inisiatif mendidik masyarakat tentang ilmu pemakanan dan kecergasan yang betul.
Dengan asas perniagaan yang semakin kukuh, kapasiti kilang yang serba lengkap dan sokongan padu daripada pelanggan setianya, langkah ONTHEGO untuk menembusi pasaran global bukan lagi satu mimpi, tetapi sebuah realiti yang bakal berlaku tidak lama lagi.


