Jenama mentega kacang tempatan, JOBBIE, memperluas kempen kesedaran kesihatan payudara Pink Wobbly Breast Odyssey dengan mengeluarkan 20,000 balang edisi terhad ke seluruh negara sempena Pink Oktober ini.
Dilancarkan dengan kerjasama bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Lotus’s Malaysia, kempen ini bakal berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026 untuk mengumpul dana bagi mendukung MAKNA.
Ia adalah rentetan daripada kerjasama pertama antara JOBBIE dan MAKNA pada tahun 2024, semasa ia memperkenal 5,000 balang edisi terhad.
Kunci utama inisiatif adalah Balang Pink Wobbly Breast Odyssey, Balang Harapan menampilkan ilustrasi payudara di samping maklumat berkenaan tanda-tanda am dan simptom melibatkan kanser payudara.
Dari kiri : Wilfred Wong, Nisha Sanita, Victor Chin, Azliza Baizura dan Densco Ong pada majlis pelancaran kempen Pink Wobbly Breast Odyssey, baru-baru ini.
Reka bentuknya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan payudara sambil memastikan subjek utama mudah difahami dan dibincangkan.
“Kempen ini sangat dekat dengan saya. Saya telah kehilangan orang tersayang disebabkan kanser, dan antara salah satu perkara yang sukar untuk diterima adalah betapa sedikit pengetahuan kita tentang penyakit tersebut sebelum ia menimpa keluarga sendiri.”
“MAKNA bermaksud ‘makna’, dan bagi saya, itulah matlamat sebenar kerjasama ini – sebagai satu cara untuk mengubah kesakitan menjadi satu tujuan. Jika kempen ini membantu keluarga lain untuk lebih peka, menekankan kesihatan, dan segera bertindak apabila merasakan sesuatu tidak kena, ia telah membuahkan hasil yang bermakna.”
— Lorence Khoo, Ketua Pegawai Operasi JOBBIE Sdn Bhd
Kempen ini membantu membawa pendidikan kanser menjangkau institusi perubatan tradisional dan lebih mesra rakyat. Pelancarannya, didukung oleh IOI City Mall sebagai penaja lokasi, turut menampilkan Trak Kesedaran MAKNA, menawarkan pengalaman interaktif AR dan VR, di samping konsultasi kesihatan payudara percuma, serta penilaian risiko di khemah MAKNA yang telah ditetapkan. Aktiviti-aktiviti ini akan tersedia di IOI City Mall dari 2-4 Oktober 2026.
“Dana yang terkumpul melalui kempen ini akan mendukung usaha MAKNA dalam membantu pesakit kanser yang memerlukan, terutamanya yang kurang berkemampuan. Setiap pembelian menyumbang kepada usaha ini, mengingatkan kita bahawa sekecil sokongan boleh membawa makna bagi pesakit kanser. Di sebalik setiap sumbangan adalah seorang insan, sebuah keluarga, dan sebuah perjalanan yang wajar untuk mendapat sokongan.”
— Nisha Sanita, Ketua Bahagian di MAKNA
“Sebagai peruncit yang beroperasi setiap hari untuk memenuhi keperluan komuniti di seluruh Malaysia, kami mempunyai peluang tersendiri dalam membantu menyediakan wadah perbualan kesihatan yang penting dengan lebih mudah. Melalui kempen ini, kami ingin menggalakkan lebih banyak kesedaran mengenai kesihatan payudara di samping menyediakan platform kepada pelanggan kami untuk menyokong MAKNA dan berdiri teguh bersama individu dan keluarga yang terjejas akibat kanser.”
— Azliza Baizura Azmel, Pengarah Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia
Sepanjang kempen selama tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2026, RM1 daripada setiap balang Pink Wobbly Breast Odyssey akan disalurkan ke MAKNA, dengan JOBBIE mensasarkan 20,000 balang dan sumbangan sebanyak RM20,000.
Balang edisi terhad
Balang edisi terhad ini boleh didapatkan secara eksklusif di semua cawangan Lotus’s di seluruh negara, dan lokasi terpilih akan menganjurkan kempen kesedaran JOBBIE X MAKNA menampilkan aktiviti kempen dan hadiah edisi terhad dengan pembelian, sementara stok masih ada.
Di kempen kesedaran ini, orang awam dijemput untuk menyumbang kepada Pink Canvas of Hope, dengan menambah ekspresi tersendiri dalam variasi warna merah jambu sebagai simbol solidariti bersama wanita dan keluarga yang terkesan akibat kanser payudara. Kanvas yang telah lengkap akan ditayangkan pada penghujung kempen.
Untuk pengguna, kempen ini menawarkan langkah mudah untuk menyokong usaha ini melalui pilihan harian. Dengan memilih Balang Pink Wobbly Odyssey, mereka membantu mengumpul dana untuk MAKNA di samping memberi kesedaran awam kepada masyarakat.
Ia juga boleh menjadi titik permulaan bagi seseorang yang mungkin tidak mengetahui cara untuk membangkitkan topik seumpamanya kepada ibu, kakak, pasangan, ataupun rakan. Kadangkala, menyokong suatu usaha murni boleh bermula dengan perkara semudah pilihan yang dibawa pulang ke rumah.