Ramai lelaki percaya bahawa mereka berada dalam keadaan yang sihat selagi masih berasa cergas dan kekal aktif. Namun, sejauh manakah tanggapan ini benar?
Terokai kupasan mendalam bersama Dr William Ong Lay Keat, Pakar Perunding Urologi, Pantai Hospital Penang mengenai kesihatan urologi, prostat, dan tanda-tanda amaran senyap yang sering diabaikan kaum lelaki dalam temu bual eksklusif ini.
1. Ramai lelaki percaya bahawa mereka sihat selagi berasa sihat dan kekal aktif. Bolehkah masalah kesihatan serius berlaku tanpa sebarang gejala yang jelas?
Dr William: “Sudah tentu. Sesetengah masalah kesihatan yang serius boleh berlaku secara senyap tanpa menunjukkan sebarang gejala, termasuk dalam kalangan lelaki yang berasa sihat dan kekal aktif secara fizikal. Antaranya ialah tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit buah pinggang dan penyakit kardiovaskular.
Kanser prostat pada peringkat awal juga lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Seseorang lelaki mungkin masih boleh membuang air kecil seperti biasa walaupun menghidap kanser prostat. Oleh itu, tabiat membuang air kecil yang normal sahaja tidak menjamin bahawa prostat berada dalam keadaan sihat. Berasa sihat sememangnya melegakan, tetapi mengetahui status kesihatan diri adalah lebih baik.”

2. Mengapakah Movember penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki, khususnya kesihatan prostat dan testis?
Dr William: “Movember merupakan peringatan tepat pada masanya bahawa kesihatan lelaki juga perlu diberikan perhatian. Ramai lelaki selesa berbincang mengenai pekerjaan, kewangan atau tanggungjawab keluarga, namun berasa keberatan untuk berkongsi masalah berkaitan kesukaran membuang air kecil, prestasi seksual atau perubahan pada testis.
Kanser prostat menjadi kebimbangan yang lebih ketara apabila lelaki semakin berusia. Sementara itu, kanser testis walaupun kurang lazim, lebih cenderung menyerang golongan lelaki yang lebih muda. Ketulan baharu, bengkak atau sebarang perubahan pada testis perlu diperiksa dan tidak boleh diabaikan. Movember membantu menjadikan perbincangan mengenai isu kesihatan lelaki sebagai sesuatu yang lebih terbuka dan menggalakkan lelaki mendapatkan nasihat perubatan lebih awal tanpa rasa malu atau bertangguh.”
3. Apakah masalah urologi yang paling lazim dialami oleh lelaki, khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas?
Dr William: “Antara masalah urologi yang lazim dialami oleh lelaki termasuk batu karang saluran kencing, jangkitan saluran kencing, pembesaran prostat, prostatitis (keradangan prostat), disfungsi ereksi dan pundi kencing terlalu aktif.
Masalah berkaitan prostat khususnya lebih kerap berlaku dan boleh menyebabkan seseorang kerap membuang air kecil, mengalami desakan untuk membuang air kecil secara tiba-tiba, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil serta aliran air kencing yang lemah. Disfungsi ereksi juga sering berlaku bersama gejala-gejala ini dan boleh dikaitkan dengan faktor risiko penyakit kardiovaskular.”
4. Apakah tanda-tanda awal masalah prostat dan bagaimana lelaki boleh membezakan antara pembesaran prostat dengan kanser prostat?
Dr William: “Pembesaran prostat, atau Benign Prostatic Hyperplasia (BPH), merupakan keadaan bukan kanser yang menyebabkan aliran air kencing menjadi lemah, kesukaran memulakan proses, desakan, kerap ke tandas dan terjaga pada waktu malam. Sebaliknya, kanser prostat lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
Apabila gejala muncul, ia mungkin hampir sama dengan BPH, jadi kedua-duanya tidak boleh dibezakan melalui gejala semata-mata. Darah dalam air kencing atau air mani, penurunan berat badan tanpa sebab, atau sakit tulang berterusan memerlukan penilaian doktor. Bergantung pada faktor risiko, pemeriksaan mungkin merangkumi ujian darah PSA, pemeriksaan rektum digital, MRI, atau biopsi.”
5. Pada usia berapakah lelaki perlu mula menjalani saringan prostat dan berapa kerap pemeriksaan perlu dilakukan?
Dr William: “Tiada satu usia permulaan yang sesuai untuk semua lelaki; ia bergantung pada usia, sejarah keluarga, faktor risiko, dan jangka hayat. Lelaki berisiko purata boleh mula berbincang mengenai saringan kanser prostat sekitar usia 50 tahun.
Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang kuat (seperti bapa atau adik-beradik didiagnosis pada usia muda), perbincangan boleh dimulakan lebih awal, iaitu sekitar 40 hingga 45 tahun. Paras PSA yang tinggi tidak semestinya kanser kerana BPH atau jangkitan juga boleh menyebabkannya. Kekerapan ujian susulan bergantung pada keputusan awal dan tahap risiko individu.”

6. Ramai lelaki mengalami masalah kerap membuang air kecil, khususnya pada waktu malam, tetapi sering mengabaikannya. Bilakah mereka perlu mula berasa bimbang?
Dr William: “Terjaga sekali pada waktu malam mungkin biasa bagi sesetengah lelaki, tetapi jika ia berlaku berulang kali, mengganggu tidur, atau menjejaskan kehidupan seharian, dapatkan nasihat pakar urologi. Ini lebih penting jika aliran air kencing semakin lemah atau pundi kencing terasa tidak kosong sepenuhnya.
Segera dapatkan pemeriksaan perubatan jika anda tiba-tiba tidak dapat membuang air kecil, mendapati darah yang jelas dalam air kencing, atau mengalami demam dan menggigil bersama gejala saluran kencing.”
7. Bolehkah disfungsi ereksi menjadi tanda amaran awal kepada masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung atau diabetes?
Dr William: “Ya, dan inilah antara mesej paling penting yang ingin saya sampaikan. Disfungsi ereksi (ED) bukan sekadar masalah kesihatan seksual, malah boleh menjadi tanda amaran kepada diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, atau penyakit kardiovaskular.
Oleh kerana arteri yang membekalkan darah ke zakar lebih kecil berbanding arteri koronari, gangguan aliran darah sering menyebabkan ED muncul beberapa tahun sebelum gejala penyakit jantung dirasai. Oleh itu, ED merupakan peluang penting untuk menilai kesihatan lelaki secara menyeluruh.”
8. Mengapakah ramai lelaki menangguhkan pemeriksaan perubatan walaupun menyedari perubahan pada kesihatan saluran kencing atau seksual mereka?
Dr William: “Kebiasaannya ia berpunca daripada rasa malu, takut, atau tanggapan bahawa ia hanyalah proses penuaan biasa. Sesetengah lelaki dibesarkan dengan tanggapan bahawa mereka perlu menanggung masalah secara senyap.
Malangnya, penangguhan boleh menyebabkan masalah yang boleh dirawat menjadi serius. Sebagai contoh, penyumbatan saluran keluar pundi kencing yang tidak dirawat boleh menyebabkan retensi urin dan menjejaskan fungsi buah pinggang. Ingatlah, ini adalah masalah perubatan, bukannya kelemahan peribadi.”
9. Bilakah seseorang lelaki perlu berjumpa pakar urologi dan apakah yang biasanya berlaku semasa konsultasi pertama?
Dr William: “Dapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami perubahan tabiat membuang air kecil, aliran lemah, darah dalam air kencing, UTI berulang, batu karang, ED, masalah kesuburan, atau ketulan pada testis.
Semasa konsultasi pertama, saya akan membincangkan gejala, sejarah perubatan, ubat-ubatan, serta menjalankan pemeriksaan fizikal yang bersesuaian (seperti abdomen, alat kelamin, atau prostat). Ujian air kencing, ujian darah, atau ultrabunyi mungkin disarankan bagi membantu pesakit memahami pilihan rawatan yang tersedia.”
10. Apakah pilihan rawatan terkini yang tersedia untuk masalah prostat dan saluran kencing yang lazim? Bolehkah keadaan ini dirawat tanpa pembedahan besar?
Dr William: “Rawatan urologi kini telah berkembang pesat tanpa memerlukan pembedahan besar. Untuk pembesaran prostat, rawatan bermula dengan perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan. Bagi kes terpilih, prosedur invasif minimum atau endoskopik ditawarkan, termasuk terapi wap air Rezūm, prosedur laser, serta HoLEP (Holmium Laser Enucleation of the Prostate).
Bagi batu karang, rawatan merangkumi lithotripsy gelombang kejutan, ureteroskopi laser, atau PCNL. Manakala disfungsi ereksi boleh diuruskan melalui gaya hidup, ubat oral, atau terapi gelombang kejutan berintensiti rendah.”
11. Sebagai Pakar Urologi Residen yang baharu di Pantai Hospital Penang, bagaimana doktor berharap dapat menggalakkan lebih ramai lelaki mengambil langkah proaktif?
Dr William: “Di Pantai Hospital Penang, saya berharap dapat menyediakan penjagaan urologi yang menyeluruh—merangkumi masalah prostat, batu karang, kesihatan seksual, hingga kes kompleks. Saya mempunyai minat khusus dalam rawatan invasif minimum dan endoskopik, seperti pembedahan laser untuk prostat dan batu karang. Melalui pendidikan pesakit dan komunikasi yang jelas, matlamat saya adalah untuk membantu lelaki membincangkan isu kesihatan tanpa rasa takut atau malu.”
12. Akhir sekali, apakah nasihat doktor kepada lelaki yang sering menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana berasa sihat atau takut mengetahui keputusan?
Dr William: “Nasihat saya: jangan tunggu sehingga sesuatu masalah menjadi terlalu serius. Berasa sihat tidak bermakna anda benar-benar sihat, dan ketakutan hanya melambatkan peluang rawatan awal.
Sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tabiat membuang air kecil atau kesihatan seksual, mulakan perbincangan dengan doktor dan tetapkan temu janji. Pemeriksaan kesihatan bukanlah untuk mencari berita buruk, sebaliknya peluang untuk memahami diri dan mengambil tindakan awal demi masa depan yang lebih sihat.”
Untuk maklumat lanjut atau membuat temujanji bersama Dr William Ong Lay Keat, kunjungi Pantai Hospital Penang hari ini.


