Fasa merancang untuk hamil atau trying to conceive (TTC) selalunya hadir bersama pelbagai persoalan dan perasaan gemuruh. Memahami cabaran serta kepentingan kesihatan reproduktif, Parenthood Media bersama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) baru-baru ini menganjurkan forum What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy.
Berlangsung di MyToday, Atria Shopping Gallery, forum khas ini membuka ruang perbincangan mesra berhubung isu kesuburan, kesihatan hormon serta persediaan awal buat pasangan suami isteri sebelum melangkah ke alam keibubapaan.
Antara mesej utama yang ditekankan oleh para pakar ialah penjagaan prakehamilan tidak sepatutnya bermula hanya apabila sesebuah pasangan mula mencuba untuk hamil secara aktif.
Sebaliknya, mengambil berat tentang kesihatan reproduktif dan tubuh secara keseluruhan dari awal membantu mengenalpasti potensi masalah kesihatan dengan lebih pantas.


Panel jemputan yang menampilkan Pakar Sakit Puan & Obstetrik PHKL, Dr Raymond Lim dan Pakar Endokrinologi PHKL, Dr Lim Sue Wen turut berkongsi faktor yang mempengaruhi kesuburan:
- Faktor Umur: Keupayaan kesuburan berubah seiring dengan peningkatan usia.
- Kondisi Kesihatan: Masalah seperti polyendocrine metabolic ovarian syndrome (PMOS), endometriosis, gangguan tiroid, dan kencing manis (diabetes) boleh memberi cabaran dalam proses persenyawaan.
- Kesedaran Awal: Mengenal pasti tanda-tanda amaran awal dan mendapatkan nasihat perubatan membolehkan wanita memahami tahap kesihatan reproduktif mereka dengan lebih baik.
Kesuburan adalah perjalanan bersama pasangan
Satu lagi titik penting yang diketengahkan adalah kesukaran untuk hamil bukanlah isu wanita semata-mata. Apabila proses untuk mendapatkan zuriat mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, ujian pemeriksaan perubatan perlu dilakukan ke atas kedua-dua belah pihak, suami dan isteri kerana faktor lelaki juga boleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan.
Selain itu, gaya hidup dan tahap kesihatan harian turut memainkan peranan penting dalam menentukan hasil kehamilan:
- Keseimbangan Hormon & Berat Badan
- Nutrisi & Pemakanan Seimbang
- Aktiviti Fizikal & Pengurusan Stres
Menerusi perbincangan terbuka ini, forum berkenaan berhasrat untuk menjadikan topik perbincangan TTC lebih praktikal, berasaskan maklumat yang tepat, serta tidak lagi dianggap sebagai satu perkara yang menakutkan buat pasangan.
Mitos terungkai: jumpa pakar tak semestinya terus jalani IVF!


Panel pakar turut memperbetulkan tanggapan lazim masyarakat bahawa berjumpa dengan pakar kesuburan secara automatik bermakna pasangan perlu menjalani rawatan persenyawaan luar rahim (IVF).
Sesi konsultasi kesuburan sebenarnya bermula dengan langkah memahami punca sebenar masalah yang dihadapi. Pelan rawatan yang disyorkan adalah mengikut kesesuaian individu atau pasangan, yang merangkumi:
- Perubahan gaya hidup yang lebih sihat.
- Pengambilan ubat-ubatan yang bersesuaian.
- Rawatan serta pengurusan kondisi penyakit sedia ada.
- Teknologi reproduktif berbantu seperti IVF sekiranya perlu dan sesuai.
Langkah seterusnya buat anda & pasangan
Menerusi penganjuran forum ini, Parenthood Media dan Pantai Hospital Kuala Lumpur berharap dapat memupuk lebih banyak perbualan terbuka mengenai penjagaan prakehamilan dan kesihatan reproduktif.
Sekiranya anda atau individu yang anda kenali sedang berdepan cabaran untuk hamil atau berminat untuk mendapatkan sesi konsultasi prakehamilan, layari laman web rasmi Pantai Hospital Kuala Lumpur untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pakar serta khidmat nasihat perubatan profesional.


