SHAH ALAM – Sebuah parti politik baru yang dinamakan Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dengan rasminya dilancar semalam.
Presidennya, Danial Marnokaran Abdullah berkata, parti itu ditubuhkan bertujuan menamatkan ‘politik warisan’ serta mencabar status quo politik di negara ini.
“Status quo akan dicabar, pelancaran parti ini hanyalah langkah pertama. Kami akan umumkan langkah kedua dan ketiga kami secepat mungkin.
“Tiada lagi politik diwarisi kerana matlamat parti ini untuk melahirkan generasi pemimpin baharu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bersama di sini, semalam.
Danial berkata, penubuhan Bersama tidak disokong oleh mana-mana pembiaya sebaliknya akan bergantung kepada dana daripada orang ramai berasaskan konsep dari rakyat untuk rakyat.
Fokus Pilihan Raya Umum ke-16
Ini katanya bagi membolehkan parti itu bebas daripada sebarang tekanan politik dan hanya berkhidmat kepada rakyat.
“Parti ini tidak disokong oleh mana-mana kuasa luar dan kami pastinya tidak berminat untuk menumpang dengan mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Bersama, semalam.
Danial berkata, pihaknya juga hanya fokus pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan tidak berhasrat untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri.
Ketika ditanya, adakah Bersama akan menyertai mana-mana gabungan politik, Danial berkata, ketika ini perikatan seperti itu bukan keutamaan parti.
Sebaliknya, katanya, Bersama mahu menjadi ‘kuasa ketiga’ yang memberikan semak dan imbang dan pada masa yang sama menyuarakan kebimbangan rakyat.
Beliau turut yakin partinya akan diterima orang ramai berdasarkan objektif dan tawaran parti itu yang lebih segar dan merentas sempadan perkauman.