Apabila membayangkan percutian ke Amerika Syarikat (AS), ramai yang terbayang bandar metropolitan seperti New York atau Los Angeles. Namun, terletak di tengah-tengah keindahan Samudera Pasifik Barat, Guam, sebuah wilayah tidak berorganisasi milik AS menawarkan daya tarikan tropika yang cukup unik dan memukau.
Dari pantai berpasir putih hingga warisan budaya Chamorro, lawatan ke Guam memberikan pengalaman percutian gabungan gaya hidup Amerika dan ketenangan pulau Pasifik.
1. Keindahan Pantai & Aktiviti Air

Tumpuan utama di Guam sudah semestinya keindahan persisiran pantainya. Tumon Bay merupakan pusat tumpuan pengunjung dengan air lautnya yang jernih berawarna turquoise, tenang dan cetek sangat sesuai untuk aktiviti snorkeling, kayak, atau sekadar berenang santai.
Bagi pencinta keindahan bawah laut, batu karang yang mempesonakan serta hidupan laut yang pelbagai menjadikan aktiviti selam skuba di sini antara yang terbaik di rantau ini.
Tip Pengembara: Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan matahari terbenam (sunset) di Tumon Bay. Pantulan warna jingga dan ungu di dada laut menyediakan pemandangan yang amat menakjubkan.
2. Memahami Warisan & Budaya Chamorro



Guam bukan sekadar lokasi percutian pantai; pulau ini kaya dengan sejarah. Penjajahan Sepanyol, Jepun, dan Amerika telah membentuk lipatan sejarah yang unik di sini.
- Two Lovers Point (Puntan Dos Amantes): Tebing tinggi yang menawarkan pemandangan panorama Lautan Pasifik yang menakjubkan. Tempat ini terkenal dengan legenda kisah cinta tragis sepasang kekasih Chamorro.



- Taman Batu Latte (Latte Stone Park): Terletak di Hagåtña, anda boleh melihat tiang batu binaan kuno masyarakat asal Chamorro yang menjadi simbol seni bina dan budaya tempatan.

- Pekan Inarajan: Terletak di bahagian selatan pulau, pekan ini mengekalkan seni bina bersejarah dan suasana kampung tradisional yang tenang.
3. Syurga Membeli-belah Bebas Cukai
Satu lagi kelebihan utama Guam ialah statusnya sebagai zon membeli-belah bebas cukai (duty-free shopping). Pusat perbelanjaan seperti T Gallaria by DFS, Micronesia Mall, dan Guam Premier Outlets (GPO) menawarkan pelbagai jenama antarabangsa dan Amerika pada harga yang sangat berpatutan.


Bagi mereka yang menggemari barangan gaya hidup, fesyen, atau barangan kraf tempatan, pengalaman membeli-belah di sini amat memuaskan dan berbaloi.
4. Kepelbagaian Citarasa Kuliner
Penerokaan ke Guam tidak lengkap tanpa mencuba kulinari tempatan. Makanan tradisional Chamorro kaya dengan pengaruh rasa Pasifik, Filipina, dan Sepanyol.
- Nasi Red Rice: Nasi yang dimasak dengan biji achiote, memberikan warna oren yang ikonik dan aroma yang unik.
- Kelaguen: Hidangan berasaskan daging ayam, daging lembu, atau makanan laut yang diperap bersama perahan limau nipis, kelapa parut, dan cili, segar dan membuka selera!
- Barbeku Gaya Tempatan: Daging panggang dengan perapan khas Chamorro yang kaya dengan rasa rempah ratus.
Pendek kata, lawatan ke Guam memberikan kombinasi sempurna antara rehat, keindahan alam semulajadi, membeli-belah dan pendedahan budaya yang menarik.

Suasana pulau yang mesra serta gabungan unik budaya tradisi dan moden menjadikan Guam sebuah destinasi yang sangat istimewa untuk dikunjungi.
Laluan dari Malaysia ke Guam dengan Philippine Airlines
Dengan penerbangan harian nonstop dari Manila ke Guam, dan sambungan dari Kuala Lumpur yang sedia ada, jadual Philippine Airlines direka untuk keselesaan penumpang.
Laluan ini turut memberi manfaat kepada komuniti warga Filipina di Malaysia dan sebaliknya, serta rakyat Malaysia yang ingin meneroka destinasi unik dalam rangkaian Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, Philippine Airlines menerbangkan sebanyak 23 agensi pelancongan dan 14 wakil media tempatan ke Guam sebagai satu rangka promosi dengan kerjasama Biro Pelancongan Guam.
Penerbangan ke Guam dengan Philippine Airlines dari KLIA akan melalui transit di Manila sebelum menyambung penerbangan terbang terus ke Guam di mana penumpang boleh memilih sama ada penerbangan kelas bisnes mahu pun ekonomi.


