PUCHONG, 3 Julai 2026 – Briar Resources Sdn Bhd (Briar Resources) telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam (Bahagian Dagang) terhadap bekas pembuat kontraknya, Behn Meyer AgriCare (M) Sdn Bhd, atas dakwaan melanggar kontrak berkaitan pembekalan baja di bawah Program Baja MADANI.
Tindakan undang-undang tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Foo Hiap Siong & Co. susulan pertikaian yang melibatkan pembuatan dan bekalan baja formulasi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu MPOB F5 IMPROVED.
Peguam syarikat, William Foo Hiap Siong, menyatakan bahawa langkah tersebut diambil bagi melindungi kepentingan rantaian bekalan lebih 500,000 pekebun kecil kelapa sawit di bawah Program Baja MADANI yang terjejas sejak Mac 2026.
“Isu ini melibatkan sekatan terhadap pengambilan dan bekalan stok sejak Mac 2026 yang telah mengakibatkan anggaran kerugian kepada pihak syarikat berjumlah RM1.8 juta,” katanya dalam satu sidang media di pejabat guaman berkenaan di Puchong, semalam.
Sekat stok, tahan beg pembungkusan
Briar Resources merupakan pemegang lesen eksklusif MPOB sejak tahun 2022 bagi memformulasi, menggunakan pengetahuan teknikal sulit, serta tanda dagangan baja MPOB F5 Improved (dipasarkan sebagai “Improved 5” di bawah jenama “Baja Madani”) dan MPOB F5 Premium (“Premium 5”).

Dalam pernyataan tuntutannya, Briar Resources mendakwa pihak defendan (Behn Meyer) telah:
- Menyekat pengambilan stok Improved 5 yang telah diluluskan.
- Menahan beg-beg pembungkusan berjenama Briar Resources.
- Gagal membekalkan stok mengikut peruntukan kontrak yang dipersetujui.
Tindakan tersebut didakwa telah menjejaskan keupayaan Briar Resources untuk memenuhi pesanan pelanggan domestik, termasuk koperasi pekebun serta tempahan eksport yang telah disahkan.

Kerugian ini turut menggangu pelan strategik Program Baja MADANI yang telah disusun sejak Jun 2024, sekali gus menjejaskan reputasi syarikat.
Hubungan tuntutan tersebut memohon agar mahkamah mengeluarkan deklarasi hak eksklusif Briar Resources, perintah penyerahan stok dan beg pembungkusan yang ditahan, injunksi perlindungan formulasi dan jenama, serta tuntutan ganti rugi sewajarnya.
Demi melindungi hak pekebun kecil

Mengulas mengenai prosiding mahkamah itu, Pengerusi Eksekutif Briar Resources, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan ibni AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menegaskan keputusan tersebut terpaksa dibuat demi kepentingan industri.
“Langkah ini bukan diambil dengan ringan. Kami terpaksa berbuat demikian untuk melindungi hak harta intelek MPOB yang dilesenkan kepada kami, memelihara keyakinan para pekebun terhadap jenama Baja Madani, dan memastikan rantaian bekalan baja sawit negara kekal telus serta boleh dipercayai,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai, memberi jaminan bahawa operasi syarikat dan komitmen kepada pelanggan serta rakan strategik akan tetap berjalan lancar dalam tempoh dua bulan ini.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada inovasi, kualiti produk dan pembangunan industri pertanian. Pada masa yang sama, kami menghormati proses kehakiman dan yakin segala isu yang dipertikaikan akan ditentukan secara adil melalui saluran undang-undang,” katanya.


