KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan eHailing Malaysia (GEM) bersama Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja UMNO, MTUC dan PENGHANTAR hari ini menyerahkan memorandum Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Aktivis GEM Jose Rizal berkata, penyerahan memorandum itu selari dengan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) semalam yang menyentuh isu berkaitan dengan Ekonomi GIG.
“Malah, dalam ucapan dasar itu juga beliau turut menyentuh keperluan cadangan untuk diadakan suruhanjaya bagi mengawal selia ekosistem Ekonomi GIG.
“Ucapan dasar semalam juga memberi indikasi bahawa sudah sampai masanya Industri GIG diangkat dan dimartabatkan demi keadilan semua pihak,” katanya ketika penyerahan memorandum berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Kehadiran Sekretariat, GEM juga adalah untuk menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden UMNO yang sangat prihatin dan berharap cadangan penubuhan suruhanjaya ini dapat direalisasikan dengan segera.